Wednesday, July 15, 2009

Bot Pukat Jerut Kuala Kedah Selepas Perang Dunia Kedua

Aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat jerut merupakan satu pekerjaan yang utama di Kuala Kedah. Menurut cerita, di antara tekong (orang Kuala Kedah menyebut sebagai 'angkong') bot pukat jerut yang terkenal di KualaKedah pada zaman selepas perang ialah Tok Mat Majid, Tuan Haji Endut dan Tok Mat Abas.

Tok Mat Majid ialah bapa kepada Haji Man Kutu manakala Tuan Hj. Endut adalah mertua kepada Tuan Guru Hj.Ismail Ibrahim, seorang guru agama dan tokoh penting di Kuala Kedah pada waktu dulu. Pengkalan (pelantar) bot kedua-dua tekong ini terletak di Kadap iaitu di kawasan Kompleks LKIM Kuala Kedah sekarang. Tok Mat Majid adalah tekong kepada bot puakat jerut KF 29 yang dikenali sebagai 'Darulaman' manakala Tuan Hj.Endut menjadi tekong bot KF 75 yang didaftarkan dengan nama 'Peladang'.


Mengikut cerita, bot Darulaman (KF 29) mempunyai kelainan daripada bot jerut lain iaitu kedudukan tempat jurumudi dan rumah injin yang terletak berasingan dimana jurumudi bagi bot ini terletak di bahagian hadapan (haluan) bot. Hai ini berlaku kerana bot Darulaman pada asalnya adalah bot kargo barangan dari Pulau Pinang.


Pada era pertengahan tahun 50-an muncul tekong-tekong bot seperti Pak Haji Hassan Dunia, Mat Zain Tok Pin dan Pak Chin Mepan. Pada era tahun 60-an pula apabila industri pukat jerut menjadi semakin berkembang maka lahir pula tekong-tekong sepert Haji Man Kutu, Haji Mat Jenin (Ahmad Hassan), Khamis Bakar, Mat Amin, Haji Mat Kaboi, Long Adam (Kampong Baru) Cik Ani (Orang Trengganu) Bang Ya Hj. Ali (Kampong Baru) dan Hj Mad Din Tonteng (Kampong Ulu). Hj Mad Din Tonteng (bapa kepada Haji Dollah dan Cik Amat Lentok) dikatakan mempunyai dua buah bot pukat jerut yang diberi nama "YUSRA " dan "LOMBA".


Selain daripada mereka di atas, tekong bot yang agak terkenal di Kuala Kedah pada era 60-an dan 70-an ialah Haji Ani Congo, Ibrahim Mad Din ( Brahim Pak Kedap), Mud Awang Jaafar, Hj Taib Pak Napi, Pak Mid Pala dan Mat Zin Tok Pin (bapa Cikgu Mud).

Pengkalan atau pelantar bagi bot jerut biasanya terdapat di sepanjang Sungai Kedah iaitu dari 'Kadap' hinggalah ke Kampung Ulu. Dalam sesebuah bot terdapat pelbagai jawatan/hiraki yang wujud iaitu Tekong (nakhoda), tekong No.2 (penolong tekong), engineer dan awak-awak. Bagi industri bot jerut, sistem gaji kepada 'awak-awak' bot adalah berdasarkan gaji harian atau lebih dikenali sebagai 'duit petik'. Duit petik bagi seorang awak-awak pada zaman 60-an dan 70-an dulu adalah sekitar RM 1.50 seorang. Istilah 'duit lauk' pula merujuk kepada imbuhan yang diterima oleh mereka hasil jualan ikan yang ditangkap biasanya sebanyak satu bakul atau dua bakul diberikan oleh taukeh bot sebagai habuan penat lelah. Hasil jualan 'duit lauk' akan di'bedak' (agih) dikalangan awak-awak tersebut.

Pekerjaan sebagai nelayan khususnya awak-awak merupakan pekerjaan utama bagi penduduk Kuala Kedah pada masa itu. Hanya terdapat beberapa orang anak tempatan Kuala Kedah saja yang bekerja makan gaji seperti Cikgu Omar Ahmad, Cikgu Non (Othman Hanafiah), Cikgu Khalid Tok Mat Ketam Besi, Cikgu Mud, Cikgu Non Cha, Cikgu Ani Bakar Alor, Cikgu Ramli Tok Haji Ibrahim, Pak Mat Gula (Tukang Kebun sekolah Seberang Nyonya), Mat Taib Haji Chan Dunia (Pengurus Estet Boustedt) serta beberapa orang lagi.


Di sebalik industri perikanan yang tumbuh dengan pesat di Kuala Kedah pada sekitar tahun 50-an hingga 70-an, lahir pula sumber pendapatan sampingan bagi masyarakat Kuala Kedah iaitu industri membuat bot nelayan. Di antara tukang (pembuat) bot di Kuala Kedah yang paling popular sejak zaman sebelum Jepun hingga ke akhir tahun 60 an ialah arwah datuk saya iaitu Tok Hanafiah bin Abbas. Tok Hanafiah (Napiah) berasal daripada Perlis dan menetap di Kampong Madrasah Hj.Ismail (belakang sekolah Seberang Nyonya). Beliau merupakan tukang bot bagi kebanyakan bot pukat jerut yang beroperasi di Kuala Kedah pada zaman itu. Kecuali bot pukat jerut 'Darulaman' dan 'Peladang' yang dibeli oleh taukeh Cina dari Pulau Pinang, bot-bot jerut selepas itu semuanya dibina oleh Tok Napiah dengan dibantu oleh anak serta anak saudaranya iaitu Ahmad (bapa saya), Ghani dan Mat Zain. Saya masih ingat, berhampiran rumah Tok Napiah terdapat sebuah bangsal yang menempatkan bengkel, mesin pemotong kayu dan bot-bot besar dan kecil yang masih dalam pembinaan. Pada sebelah petang, saya dan sepupu yang lain menggunakan kawasan ini untuk bermain aci-aci, guli tohet dan gasing.

Saya juga masih ingat ketika kecil pada awal tahun 60an, sebuah bot jerut yang siap dibina oleh arwah Tok Wan saya dibawa ke Sungai Kedah melalui Alor Tok Pasai dengan ditolak beramai-ramai (guna pelapik kayu nibung) melalui jalan kecil di tepi Sekolah Kebangsaan Seberang Nyonya, Kuala Kedah. Kemasyhuran beliau sebagai tukang bot di Kuala Kedah juga menarik perhatian orang luar pada awal Tahun 60-an apabila seorang warga Australia datang meminta Tok Wan saya membuat sebuah bot laju untuknya dengan tempoh diberi dua tiga hari saja. Permintaan warga Australia itu bagaimana pun ditolak oleh Tok Wan saya kerana kesuntukan masa selain pada masa tersebut beliau sedang menyiapkan beberapa buah bot pukat hanyut dan pukat senyoh yang ditempah terlebih dahulu oleh penduduk tempatan. Selain daripada berbakat didalam membina bot nelayan, Tok Wan juga mahir didalam membina rumah terutama rumah kampung. Tetapi agak mendukacitakan juga apabila perusahaan membina bot nelayan yang dirintis oleh beliau tidak diwarisi selepas kematiannya pada tahun 1969 disebabkan anak-anak beliau menceburi bidang tugas yang lain.

Sumber Rujukan :
1. Cerita Lisan oleh Allahyarham Haji Othman Hanafiah (Cikgu Non)
2. Cerita Lisan oleh Haji Ahmad Hanafiah (Bapa saya)
3. Sumber daripada Azhar Ahmad (Art Mat Pak Cha)

1 comment:

  1. saya juga pernah bekerja dengan pukat jerut di kuala kedah dengn sebuah boat kepunyaan tauke cina yang beranama HAI SAN boat nya bernumber KF 77 hangkong nya bernama Ah Choon taikong nya pula 3 orang iaitu Tua Kau Bee Chong & saya sendiri menekala oi booi nya 3orang saya dah ,upa nya kawasan operasi nya ialah dari Langkawi di utara membawa ke pulu pangkor ha nya saya seorang aje melayu dari 28 china hj baba shah alam

    ReplyDelete